Siapa tu?

 Salam buat pembaca semua.

Buat pertama kali saya menulis kisah 'angker' di blog saya. Penulisan ini juga ialah penulisan saya yang kedua selepas hampir lima tahun menyepi😅. Cerita yang saya sajikan pada kali ini adalah kisah sebenar berdasarkan pengalaman saya semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2019. Selamat membaca~
_____________________________________________________________________

Seingat saya kejadian berlaku pada hari minggu di mana pada hari esoknya merupakan hari cuti. Untuk pengetahuan pembaca. bilik saya jenis bilik yang boleh memuatkan dua orang penghuni dan pada malam tersebut rakan sebilik saya mempunyai latihan pementasan teater. Katanya dia balik agak lewat... mungkin dalam pukul 2 pagi. Jadi saya merancang untuk berjaga lewat malam sehingga rakan saya selesai latihan teaternya.

Leka saya bermain telefon sehingga tidak perasan yang jam sudahpun menghampiri pukul 12 tengah malam. Hasrat saya untuk berjaga lewat malam saya lupakan kerana tiba-tiba mata saya berasa sangat berat. Mungkin penat menghadiri kuliah pada sebelah siang. Saya bangun dari katil untuk mematikan suiz lampu bilik yang berada tidak jauh dari katil supaya suasan bilik lebih selesa untuk saya cuba melelapkan mata.

Sekembalinya saya ke katil, saya mencapai botol air yang terletak di atas meja belajar yang berada di hujung katil. Semasa saya hendak meneguk botol, tiba-tiba dalam keadaan yang gelap gelita tanpa setitik cahaya saya terdengar bunyi katil rakan sebilik saya yang berada lebih kurang 1.5 meter daripada katil saya berkeriuk seolah-olah ada seseoerang baharu sahaja duduk di atas katil rakan saya. Saya tanpa berfikir panjang terus mencapai telefon dan menyuluh ke arah katil rakan saya. Kosong. Tiada sesiapa mahupun apa-apa di atas katil tersebut.

Tanpa berfikir panjang saya terus keluar meninggalkan bilik saya dan menumpang di bilik rakan saya yang lain sementara menunggu rakan sebilik saya tamat latihan teater. Walau bagaimanapun saya terlelap semasa menunggu dia tanpa memberitahu apa yang terjadi pada malam tersebut kepada dia. Hanya pada hari esoknya baru saya ceritakan kepada dia apa yang terjadi.

Sekian kisah angker saya. Semoga kita berjumpa lagi dalam kisah angker yang akan datang 😊

Ulasan